Kematian yang misteri

Kematian merupakan sesuatu yang pasti namun persoalan tentang bila,bagaimana dan di mana masih menjadi misteri.

Kepastian telah ada namun sehingga kini belum ada seorang pun manusia yang pernah hidup di muka bumi ini dapat menyelesaikan misteri permasalahan tersebut.

Sebagai doktor, atau dengan lebih spesifik lagi doktor forensik, saya telah menyaksikan ratusan dan mungkin ribuan kematian.

Ada yang menggantung diri, digantung, dibunuh, kematian disebabkan umur yang lanjut dan disebabkan oleh penyakit yang pelbagai.

Ada yang menggantung diri dengan hanya disebabkan perselisihan pendapat dengan ahli keluarga, kesedihan disebabkan hubungan yang tidak direstui dan ada yang ingin menamatkan kehidupan kerana merasakan diri akan menyusahkan orang lain jika terus meneruskan hayat kehidupan.

Pelbagai alasan, yang remeh di mata kita tetapi adalah realiti perit bagi segelintir yang lain.

Pengalaman menguruskan bedahsiasat mayat dan sedikit sebanyak menguruskan jenazah jelas membuka mata betapa kehidupan ini hanyalah sementara.

Lebih ramai ibu dan lebih ramai bapa yang meratapi pemergian anak berbanding yang sebaliknya.

Kenapa ? Dan bagaimana ia boleh berlaku juga masih belum difahami sepenuhnya.

Pil kuda? Heroin? Morphine?HIV? Motosikal?

Berikut hanyalah antara penyebab namun ada ketikanya memiliki keluarga yang terlalu berjaya juga mungkin menyebabkan masalah. Cuba bayangkan, seorang lelaki merangkap bapa yang telah kematian isteri, mempunyai 5 orang anak yang semuanya sangat berjaya dan tinggal di bandar. Bapa tersebut sudah semestinya lebih suka memilih untuk tinggal di kampung berseorangan daripada tinggal di kota batu walaupun anak-anak semuanya ingin menjaga ayah mereka.Seterusnya, lelaki tersebut sakit dan meninggal secara tiba-tiba, ditemui oleh jiran tetangga 3 hari kemudian dalam keadaan berulat.

Sadis bukan, namun inilah realiti.

Kehidupan dunia yang sementara ini hanyalah medan untuk kita diuji.

Teruskan menundukkan kepala kerana kita pastinya akan pulang pada Pencipta.

 

Leave a comment