Buat ”Snowman” haram jika…

‘’Salam ja,maaf baru topup,hukumnya ‘’haram ‘’membuat patung,daripada salji pun, dalil hadis tuhan laknat n mintak bagi nyawa kepada replika tadi,rujuk kitab majmuk juz akhir’’

14022007

‘’Sms’’ yang aku terima daripada seorang ustaz pada suatu hari selepas bertanyakan kembali tentang perkara yang pada awalnya telah diberitahu kepada aku tentang hukum haram membuat patung ni.Pada pertama kali,aku diberitahu tentang perkara tersebut,aku hanya dengar,masuk telinga kanan keluar telinga kiri.Tapi bila tiba ‘’winter’’ ni,macam teringat kembali tentang pesanan tu.Al-maklum sajelah,bila salji mencurah-curah ni,adalah yang keluar main salji,buat patung salji semua kan.

Sekadar ingin berkongsi sahaja lah,nak betul-betul rujuk ‘’Kitab Majmuk’’ tu tak mampulah aku nak mencari sumbernya.Maka,daripada sumber-sumber yang dapat digapai dan boleh dipercayai inilah aku akan berkongsi.

SEJARAH

Sejarah telah membuktikan bahawa patung-patung menjadi objek yang disembah sebagai tuhan dari dahulu hinggalah sekarang. Manakala lukisan yang bernyawa diperagungkan dan dimuliakan serta dipuja secara berlebih-lebihan sehingga ke taraf ketuhanan. Maka inilah di antara hikmah mengapa patung dan lukisan itu dilarang di dalam Islam sekalipun ia bukan hanya satu-satunya sebab mengapa ia dilarang.

Sungguhpun begitu, larangan berhubung dengan patung dan lukisan ini adalah merujuk kepada berbagai-bagai segi seperti membuatnya, memanfaatkannya dan tujuan ianya dibuat. Semua ini mempunyai syarat-syarat tertentu yang menentukan hukum keharamannya dan keharusannya.


MEMBUAT PATUNG DAN LUKISAN BERNYAWA

Hukum membuat patung atau lukisan bernyawa termasuk juga ukiran, tenunan dan sebagainya sekalipun tidak ada bandingannya (seperti kuda bersayap atau burung berkepala manusia) sama ada dihormati atau dihinakan ialah:

i. Jika ia lengkap dengan anggota yang tidak boleh ia hidup tanpanya, hukumnya adalah haram dan salah satu daripada dosa besar sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnu Hajar di dalam kitabnya Az-Zawajir ‘An Al-Iqtiraf Al-Kaba’ir berdasar amaran dan ugutan di dalam hadis-hadis yang shahih. Di antaranya ialah:

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar Radiallahuanhuma mengkhabarkan bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya mereka yang membuat gambar-gambar (berjisim iaitu patung atau tidak berjisim iaitu lukisan, tenunan, ukiran dan sebagainya) ini akan dikenakan seksa pada Hari Kiamat. Dikatakan kepada mereka (dengan pertanyaan penghinaan): “Hidupkanlah apa yang telah kamu cipta itu.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahuanhuma berkata : “Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

“Bahawasanya manusia yang paling berat azabnya pada Hari Kiamat ialah para pembuat gambar (pembuat patung atau lukisan bernyawa).” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

ii. Jika ia tidak lengkap dengan anggota yang tidak boleh ia hidup tanpanya seperti tidak berkepala maka hukumnya adalah harus. (lihat Tuhfah Al-Muhtaj 3/434 dan I’anah Ath-Thalibin 3/413).

Tetapi ada segelintir fuqaha mengharamkannya di antaranya ialah Al-Imam Al-Mutawalli iaitu salah seorang ulama besar dan pakar rujuk dalam Mazhab As-Syafie katanya di dalam kitab At-Titimmah: “Tiada beza sama ada dipotong kepalanya ataupun tidak.” Ini bererti pada pendapat Imam Al-Mutawalli bahawa sebarang patung dan lukisan adalah haram membuat atau melukisnya sama ada lengkap dengan segala anggota tubuh badannya ataupun tidak.

Semua ini adalah bagi hukum membuat patung atau lukisan yang bukan bagi tujuan permainan kanak-kanak dan pendidikan atau pembelajaran.

PATUNG DAN LUKISAN BAGI TUJUAN PERMAINAN

Patung atau lukisan yang dibuat bagi tujuan permainan kanak-kanak, ianya adalah harus hukumnya kerana ada riwayat daripada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang memberi rukhshah (kelonggaran) mengenainya. Kelonggaran dan pengeculian ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah Radiallahu- anha berkata yang maksudnya:

“Aku biasa bermain-main dengan patung anak-anak perempuan di sisi Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan aku ada beberapa orang kawan bermain-main bersama-samaku. Apabila Baginda masuk, mereka menyembunyikan (patung-patung tersebut) daripada Baginda, Baginda membiarkan mereka untuk bermain-main bersamaku.” (Hadis riwayat Bukhari).

Daripada hadis ini, jelas menerangkan bahawa patung permainan bagi kanak-kanak adalah harus membuatnya dan memanfaatkannya berdasarkan tidak ada tegahan daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam ketika melihatnya.

Begitu juga patung atau lukisan yang dibuat bagi tujuan pendidikan atau pembelajaran, adalah harus hukumnya berdasarkan keperluan. Di dalam kaedah fiqhiyyah ada menyatakan yang ertinya:

“Hajat (keperluan) itu menempati kedudukan darurat sama ada hajat yang bersifat umum ataupun khusus.”

21022007

MEMANFAATKAN PATUNG DAN LUKISAN YANG BERNYAWA

Hukum memanfaatkan patung dan lukisan yang bernyawa termasuk juga ukiran, tenunan dan sebagainya sekalipun ia tidak ada bandingannya seperti kedua bersayap atau burung berkepala manusia.

i. Jika patung atau lukisan bernyawa itu lengkap dengan anggota yang tidak boleh ia hidup tanpanya:

a. Jika diletakkan di tempat yang mulia (yang tidak menghinakannya) seperti digantung, diletak di tempat-tempat tinggi, di dinding, di pakaian dan seumpamanya, hukumnya adalah haram.

Diriwayatkan daripada Aisyah Radiallahuanha berkata yang maksudnya:

“Sewaktu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran, pada ketika itu aku telah memasang tabir pada pintuku tabir bulu yang ada padanya gambar kuda yang mempunyai beberapa sayap, maka Baginda memerintahkanku (agar aku menanggalkannya) lalu aku pun menanggalkannya (daripada pintu itu).” (Hadis riwayat Muslim).

b. Jika diletakkan di tempat yang menghinakannya seperti digunakan sebagai hamparan yang dipijak-pijak atau menjadi hina dengan penggunaannya seperti bantal, sandaran (penyandar), matawang yang menjadi pertukaran di dalam jual beli dan yang seumpamanya hukumnya adalah harus. (Lihat Nihayah Al-Muhtaj 6/379).

Diriwayatkan daripada Aisyah Radiallahuanha berkata yang maksudnya:

“Sewaktu Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam (tiba di rumah) daripada suatu pelayaran; aku telah memasang tabir rak tempat penaruhan barang-barang dengan tabir nipis yang ada padanya gambar-gambar (lukisan-lukisan yang bernyawa). Maka apabila saja Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melihatnya, Baginda menanggalkannya lalu bersabda: “Manusia yang paling berat seksaannya pada Hari Kiamat ialah mereka yang menjadikan sesuatu yang menyamai/menyerupai dengan makhluk Allah.” Aisyah berkata (ekoran daripada peristiwa itu: “Maka kami jadikan (kain tersebut) untuk dijadikan sebiji bantal atau dua biji bantal.” (Hadis riwayat Bukhari).

Dalam perkara ini juga, Imam An-Nawawi ada berkata di dalam Kitab Syarah Shahih Muslim: “Adapun penggunaan lukisan binatang, maka jika lukisan itu digantungkan di dinding atau lukisan itu pada pakaian yang dipakai atau serban dan seumpamanya yang tidak dianggap hina maka ia adalah haram. Jika ia terletak di hamparan yang dipijak, di bantal tidur, di kusyen sandar dan seumpamanya yang dianggap hina, maka tidaklah ia haram. Akan tetapi adakah (perkara yang sedemikian) itu menegah Malaikat Rahmat masuk ke rumah itu? Dalam perkara ini terdapat pembahasan yang akan kami sebutkan insya-Allah. Tidak ada perbezaan dalam perkara ini semuanya di antara lukisan yang mempunyai bayang (patung) atau yang tidak mempunyai bayang (lukisan, tenunan, lakaran, ukiran dan sebagainya). Ini adalah ringkasan mazhab kita (Asy-Syafi’e) dalam masalah ini. Inilah juga pendapat jumhur ulama daripada kalangan para sahabat, tabi’in dan orang-orang yang sesudah mereka, iaitu mazhab Ats-Tsauri, Malik, Abu Hanifah dan selain daripada mereka.” (Lihat Syarah Shahih Muslim 734).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s